Sanggup Diculik! – Lombok memukau.

Assalammualaikum dan Hi semua!

Tiba-tiba hari ni rasa nak feeling laut pulak.

Teringat pulak pasal Lombok, Indonesia.

Meskipun ramai yang dah pergi sana, tapi masih ramai yang belum ke sana beranggapan yang Lomobok ni sebuah tempat yang bahawa sebab banyak kes penculikan.

Betul… tapi jangan salah faham. Sebenarnya penculikan dekat sana adalah salah satu daripada tradisi mereka. Tradisi? haa lagi laa takut kan. haha.

Maksud tradisi tu, penculikan tu hanya berlaku sesama mereka sahaja. Katalah seorang lelaki ni suka pada seorang perempuan ni. Jadi untuk mengahwini perempuan tu, adalah menjadi tradisi mereka yang lelaki akan pergi menculik perempuan tersebut dan bawa lari ke suatu tempat untuk beberapa hari. Kemudian apabila perempuan tersebut tak balik rumah dalam tempoh 24 jam, pada saat itu ahli keluarga perempuan dah mula rasa bahawa anak mereka dah kene culik bermaksud ada seseorang yang nak kahwin dengannya. Senang kata macam “propose” laa. Jadi ahli keluarga akan mula cari perempuan tersebut sampai jumpa. Dan bila dah jumpa tu, pihak lelaki akan mula buat proposal yang dia nak kahwin dengan perempuan tersebut. Dan pada masa tu pihak lelaki akan letakkan syarat kalau nak perempuan tersebut lepas, kene runding berkenaan mas kahwin. Dan masa ni laa pihak lelaki akan mintak diskaun. Haaa power tak cara mereka nak kahwin?? hehehe. Dan ini telah menjadi tradisi mereka turun temurun sampai laa hari ni.

Jadi jangan lah kita takut nak ke sana. InsyaAllah dia tak culik orang luar mahupun kanak-kanak. Dan jangan terkejut, orang dekat sana jauh lebih baik dan mesra tau.. dan terus terang, kegiatan jenayah di sana sangat rendah. Mana taknya, pulau kecik pusing-pusing situ jugak.

Tapi saya bukan laa nak cerita pasal kes culik sangat. Ramai yang tak tahu kat sana tu MasyaAllah, SubhanAllah laut dia sangat cantik. Bila saya mula sampai kat sana dan tengok laut dia, saya sendiri terpukau. Ingat Standard Pulau Manukan meskipun Manukan memang dah cantik. Tapi jujur saya cakap laut di sana tak seperti yang sangkakan. Air dia crystal clear. Dan kehidupan laut tu seperti batu karang masih banyak dan cantik-cantik. Ikan-ikan serious banyak dan besar-besar pulak tu lagi-lagi waktu pagi.

By the way, Lombok adalah sebuah pulau besar, selain daripada laut dia saja, Lombok ada juga gunung berapi yang kita boleh hiking. Nama gunung tu Rinjani. Dekat sana ada air terjun yang sangat cantik.

Selain daripada pulaunya yang besar, Lombok juga ada 3 pulau kecil yang sangat popular. Dan kalau anda ke sana memang saya sugest untuk anda tinggal di salah satu pulau tersebut. Ada Pulau Gili Air, Gili Meno, dan Gili Trawangan.

Okay, ni characteristic setiap pulau tu

1. Gili Air

Kalau anda jenis yang nak buat aktiviti laut seperti snorkeling tau diving dan jugak sukakan sedikit night life, pulau ni sesuai untuk anda. Pulau ni sesuai untuk keluarga dan pasangan.

2.  Gili Meno

Pulau ni sangat aman damai. Kat sini banyak hotel yang 4 bintang. Kalau anda suka snorkeling pulau ni memang cantik sebab masih banyak coral dan kehidupan laut especially penyu. Kat sini jugak ada sanctuary penyu. Bila cakap aman damai tu bermaksud sini takde night life sangat cuma ada di hotel-hotel sahaja. Jadi tempat ni sesuai sangat untuk pasangan yang nak berhoneymoon. Sebab tu pulau ni jadi pilihan saya. Hehehehe:)

3.  Gili Trawangan

Kalau anda sukakan havoc! Definitely ini tempat untuk anda. Dekat sini memanga night life dia all night long. Sini banyak chalet dan hotel dan jugak restoran dan bar. Ofcourse dekat sini banyak jugak mat salleh dari Australia. Dan dekat sini jugak banyak aktiviti air yang anda boleh buat. Name it je, dari snorkeling sampai ke surfing pun ada. Jadi pulau ni memang sesuai sangat untuk semua katogeri. Lagi sesuai untuk yang datang berkumpulan atau dengan kawan-kawan.

Untuk makluman semua, jangan terkejut tau. Dekat atas pulau ni takde kerata mahupun motor. Yang ada cuma Cidomo (kereta kuda) dan jugak basikal. Tu yang best tu. Bebas dari pencemaran.

Bab makan jangan risau sebab pulau Lombok ni 90% adalah muslim. Tapi kalau dah arak dan ba alif ba ya tu confirm-confirm laa tak Halal. Tapi kalau makan di restoran yang ada bar tu kene waspada dan saya sendiri tak sarankan lah sebab chef dia pun kadang tu orang luar. Jadi kene hati-hati jugak ye. Pulau Lombok ni jugak digelar sebagai Kota 1000 masjid sebab memang kat sana setiap sudut akan ada masjid. Jadi takde alasan untuk tak solat (melainkan yang uzur laa). hehe.

 

Tentang harga pula, kalau makan di restoran atau hotel ye agak sedikit mahal standard laa kene harga tourist. Tapi di sana banyak gerai-gerai yang anda boleh jumpa yang suasanya cantik mengadap laut dan harga dia sangat berpatutan. Haa cuba tengok gambar ni.. ni saya makan di gerai saja tau.. tapi pemandangan yang saya dan isteri dapat…

 

Harga yang kami bayar untuk keseluruhan hidangan kami ni cuma sekitar Rp 120,000.00 lebih kurang Rm40 kita. Not bad laa!

Ouhh ya.. dan makanan istimewa mereka adalah Ayam Taliwang. perghh memang sedap!

Ayam berempah yang di bakar dan di hidangkan dengan sayur kangkung cili dan di makan degnan nasi putih. Memang terbaik!

*Punya lapar time ni tak sempat nak amek gambar masa makanan sampai

 

*Makan Soto kat tepi laut

Jadi kalau anda anda sebarang pertanyaan pasal tempat ni dan ingin tahu lebih lanjut, boleh je tinggalkan pertanyaan anda di ruangan “reply” di bawah.

Terima kasih 🙂

 

Ridhwan Jalal (Awai)

 

Apo Kono Eh Jang!!

 

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.

Kali ni nak cerita jelajah saya ke Nogori Sombilan pulak ehh kau.. hahaha.

Yang pasti penjelajahan saya melalui Bukit Putus kemudian Ulu Bendul sampai lah ke Tanjung Ipoh memang best. Suasana kampung yang aman damai betul-betul terasa macam nak balik raya. Tak sabar plak rasa nak raya.

Kisah kali ni sebenarnya melayan permintaan orang mengidam. hehehe. Tapi pada sama saya mengambil peluang untuk pergi main golf di sana bersama mak ayah saya. Memang syok!!

So lokasi kami kali ini adalah di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Untuk mana yang tak tahu, Seri Menanti adalah sebuah bandar di Raja yang terletaknya Istana Lama Seri Menanti. Haa boleh Google berkenaan sejarah Istana ini. Selain itu, Istana Official Yamtuan juga ada di sana. Kebetulan sewaktu kami ke sana, pekan kecil tersebut sedang sibuk menyediakan persiapan untuk majlis sambutan ulang tahun Yamtuan. Jadi kami dapatlah tengok suasana kesibukkan tersebut yang di penuhi dengan askar di merata-rata tempat.

Jadi setibanya kami di sana, kami ke pekan Seri Menanti untuk sarapan pagi. Berhadapan dengan Balai Polis Seri Menanti dan juga bersebelahan Masjid ada gerai kecil pakcik ni yang buat roti canai. Katanya satu hari biasa bukannya hujung minggu, dia boleh jual lebih kurang 300 keping roti canai dalam sehari. Terpegun jugak. Bila makan, memang tak boleh di sangkal. Serious sedap! teksturnya yang lembut dan kuah dalnya yang sedap, sekeping memang tak cukup.

Lepas dah makan tu, sekitar jam 8 pagi kami pun mula “tee-off” (main golf). Sape yang main golf tu, saya memang suggest untuk anda datang dan try main kat sini.

Course dia not bad lah, saya bagi 7/10. Green dia cantik cumanya fairway dia agak keras tetapi sangat challenging dan unik (banyak fairway narrow). Banyak naik turun bukit tapi jangan risau sebab dia boleh buggy on course.

Tapi satu perkara yang buatkan saya rasa seronok main di situ adalah suasananya dan pemandangan yang sangat cantik. Coursenya di kelilingin hutan semula jadi dan banyak kehidupan liar yang anda boleh jumpa dekat sana termasuklah lembu (Eh! liar ke??) haha.

Lebih kurang jam 2 petang kami pun habis main. Memang time tu, perut pun dah menjerit-jerit kelaparan. So memang waktu tepat untuk betul-betul makan ni! hehe..

Kalau anda dari arah Senawang ke Kuala Pilah, bila anda sampai je kat simpang ke Seri Menanti anda akan lihat disebelah kiri anda sebuah gerai kecil yang betul-betul terletak berhadapan pintu gerbang Seri Menanti. Nama gerai tersebut, Gerai Terbuka. sesuai laa dengan namanya yang berkonsepkan terbuka dengan pemandangan sawah padi yang terletak dibelakang gerai tersebut.

Di sini lah anda boleh menikmati pelbagai sajian masakan Lomak Cili Api. Ada Ikan Mabong masak lomak, Ikan Merah, Ayam Lomak, Daging Lomak, Jantung pisang Lomak, dan yang menjadi pilihan saya adalah Jangek masak lomak. Tahu Jangek tu apa?? hehe Jangek tu kulit lembu. Adoyyy… pada mulanya macam ragu-ragu nak makan. Tapi sebabkan tak pernah rasa, nak laa cuba. Dan ternyata tak sia-sia saya cuba. Serious sedap! rasa dia macam makan perut. Teksturnya liat-liat dan kene pulak dengan kuah lomak cili api yang pekat, uihhh memang terangkat!

Selain itu, korang mesti cuba sambal tradisional ikan bilis mereka. Sambal dia bukan jenis merah macam sambal biasa tu. Sambal ikan bilih ini rupa dia gelap-gelap kelabu. Campuran utama dia adalah ikan bilis dengan cili api yang ditumbuk.

Macam-macam lagi hidangan masak lomak cili api yang ada. Jadi tak sia-sia kalau anda mengunjungi gerai makan ini.

Dan selepas makan, pastikan anda simpan sikit perut anda untuk makna pencuci mulut dia pulak. Dekat situ, pencuci mulut yang paling best dan unik adalah Sagu Anau. Selain tu ada tapai, ABC dan cendol.

Dari segi harga.. jangan risau sebab teramatlah berpatutan! Makan best! Pemandangan best! Harga pun best!

Selanjutnya, check out video saya untuk penjelajahan kali ini..

 

 

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, anda boleh tinggalkan comment anda di sini dan InsyaAllah saya akan jawab kepada setiap pertanyaan atau cadangan anda.

 

Ridhwan Jalal (Awai)

 

Selera Melayu di Kota Raya!

Setiap kali bila terfikir nak makan kat area KL ni, perkara pertama yang kita fikir adalah kos. Memang ada je gerai-gerai kaki lima atau food truck yang jual makanan tengahari murah-murah (yang mana nanti kami akan cover jugak) selain itu, ada yang nak makan degan suasana yang nak feel makan kononnya. Hehehe tak salah kan… Kalau itu yang anda mahukan, makan nak feel dengan pemandangan yang best tanpa risau tentang kos yang mahal, kali ni saya nak bawak anda ke sebuah lokasi yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa.

Nama Restoran: Restoran Qaseh

Menu: Makanan Melayu

Lokasi: Kelab Golf Titiwangsa PDRM

 

Sebenarnya kebetulan saya ke sana atas urusan. Yang pasti sebelum ni, Kelab ini hanya dibuka kepada ahli sahaja dan juga kakitangan Polis. Jangan risau, selagi anda tak buat salah, anda takkan ditangkap. hehehe. Tetapi baru-baru ini, bila Restoran Qaseh mula mengambil alih restoran club house ini, kini ia dibuka kepada orang ramai. Jadi saya mengambil peluang untuk makan tengahari di situ dan agak yagn paling best mereka menyediakan makanan berlauk.

Terdapat pelbagai sajian lauk tengahari yang boleh dipilih. Lauk yang saya ambil dan saya jugak recommend untuk ambil adalah Ayam rendang, Gulai lemak pucuk paku, dan telur goreng. Ouhh dan yang paling tak boleh tinggalkan, ulam-ulam dengan sambal belacan… Barulah Melayu!!

Sentuhan rasa Melayu asli betul-betul buatkan pinggan saya licin. Saya suka sangat dengan rendang ayam dia sebab kuahnya yang pekat dan penuh dengan rasa. Macam makan time raya pulak. Serious sedap!

Kuah lemak pucuk paku pulak adalah gabungan lauk yang ideal untuk hidangan ni. Saya pulak memang no. 1 fan apa-apa masakan lemak. Yang best tentang masakan ni pulak, pucuk paku dia memang pucuk, if you know what I mean.. sebab kebanyakkan tempat kadang tu pucuk dia yang dah jadi daun. So agak keras laa. Tapi pucuk di sini memang lembut dan rasa kuah lemak dia memang best. Tidak begitu pekat (saya suka pekat) tapi rasa dia cukup.

Selain daripada makanan sedap, sebenarnya perkara yang saya nak highlightkan di sini adalah pemandangan yang anda boleh dapat bila makanan di sini. Lokasi kelab ini terletak di atas bukit. Jadi bila kita makan di restoran ni, anda akan mendapatkan pemandangan yang terbaik lah. Conoth seperti dalam gambar tu. Yang best bila makan kat sini tak payah nak kipas angin sangat, aircond pun tak perlu. Kedudukannya yang di atas bukit dan ruangannya yang terbuka memberikan angin semula jadi yang buatkan kita makan lebih feel.

Jadi kalau anda yang buat bisnes tu, agak-agak nak belanja client makan tu ke atau nak adakan meeting. Tempat ni sangat-sangatlah sessuai. Sebelum makan, nak main golf pun boleh. Hehehe. Di lokasi ini juga mempunyai suasana yang kurang gangguan bunyi. Suasana kat sini sangatlah tenang dan tak bising. Kalau anda tak main handphone, saya guarantee anda akan ada perbualan yang berquality bila duduk makan di sini.

Sebut tentang harga… dah laa makan kat club house, dengan suasana dan pemandangan macam tu pulak. Mesti mahal!! kan?

Jangan risau, sebab saya pada mulanya pun fikir macam tu jugak. Terus terang saya cakap, harga di sini sangat berpatutan dan standard seperti di kebanyakkan tempat yang anda pergi makan tengahari. Tapi kalau anda memang jenis makan tengahari kat Chillis, bukan itulah yang saya maksudkan. Macam makan kat gerai lain jugak.

Jadi, kalau anda mencari loksai makan tengahari yang sedap, dengan pemandangan dan suasana yang tenang, harga pun berpatutan, saya sarankan anda untuk kunjungi Restoran Qaseh yang terletak di Kelab Golf Titiwangsa PDRM yang terletak betul-betul dalam kawasan Taman Tasik Titiwangsa.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut atau cadangan, boleh tinggalkan di ruangna comment yang ada 🙂

 

Ridhwan Jalal (Awai)

Liku-Liku Padang Pasir – Muscat, Oman

Gambar original, Lokasi: Nizwa Fort, Oman

Untuk lokasi penjelajahan saya yang pertama ini, ingin saya berkongsi tentang pengalaman luar biasa saya di sebuah negara yang sangat harmoni iaitu, OMAN.

Pasti ramai yang tidak tahu tentang kewujudan negara ini. Meskipun ia adalah salah satu daripada “Gulf Country” namun, pembangunannya yang tidak telampau pesat seperti negara-negara Arab yang lain seperti Dubai, Saudi, Qatar dan lain-lain membuatkan negara ini tidak berapa di kenali.

Namun pada saya, ini adalah negara Arab yang paling saya suka dan seronok untuk berada. Kalau Saudi tu seronok sebab adanya Makkah dan Madinah. Tetapi negara ini menjadi pilihan kerana masyarakat dan suasananya yang sangat harmoni.

*Hakcipta AwaiTravelog.com

 

Lihah saja, budak-budak kecil kat sana pun seawal usia dah didedahkan dengan perniagaan.

Kalau kita lihat dari Google Earth, memang kita akan nampak cokelat je, tak nampak hijau macam negara kita. Sebab memang negara mereka ini dipenuhi dengan gunung-gunung yang takde pokok, dan sebahagian tempat tu ada padang pasir. Punyalah cantik, kalau anda tengok gunung-gunung mereka tu anda macam-macam warna.. MasyaAllah, SubahanAllah..

*Hakcipta AwaiTravelod.com

Tapi, yang paling best nak cerita kat sini adalah bab MAKAN!!

uishhhh tetiba terasa lapar plak….

Sarapan Pagi!

Bila pagi menjelma, gruk gruk perut mula terasa lapar. Kalau di Oman ni, makanan sarapan utama meraka adalah manisan. Kebiasaannya makanan mereka akan makan roti tradisonal mereka yang dinamakan REGAG. Roti nipis macam tosai tu tapi rasa lain. Roti ni kalau waktu pagi mereka akan makan dengan madu kurma. Caranya:

  • Di gaul-gaul roti tu dengan madu kurma tu sampai lumat dan hancur kemudian makan!

Maaangai….rasa dia manis teramat sampai rasa mulut ni kembang laa kan.

Atau kebiasaan lain, ia dimakan dengan berintikan cheece, madu lebah, atau masala ayam atau kambing.

Overal penerimaan rasa: kalau makan digaul dengan madu kurma tu agak 2/5. Kalau makan dengan cheese, atau masala tu 3/5

Makan Tengahari!

Makan kat sini memang heaven! Makanan tengahari utama di Oman ni samalah macam kita, nasi. Tapi nasi mereka ni bukan nasi putih macam kita. Nasi mereka ni macam-macam jenis. Ada Maghdut laa, Mandy laa, tapi nasi tradisional Oman adalah nasi yang dinamakan KABULI! haa dah macam kena buli bunyinya.. sedap dia ofcourse mangancam!

Nasi Kabuli ni depenuhi dengan rempah ratus adunan mereka sendiri dan yang paling penting dalam nasi mereka ni mesti kene ada bunga sefron… bukan Zack Afron! bunga sefron…

Bayangkan bila di sajikan, tiga beranak makan satu dulang. Selain itu, nasi ini juga di sajikan degan kambing atau pun ayam. Tapi yang kami dapat ni, ni dia kambing stim berempah yang menggunung.

Rasa nasinya agak sedikit basah. Untuk saya, memang saya suka nasi yang basah-basah ni. Rempah yang digunakan dalam masakan memang terasa sampai ke tekak. mereka juga memasak menggunakan air rebusan kambing. Jadi tu yang membuatkan nafsu makan tu membuak-buak.

Overall penerimaan rasa: 4/5

Makan Malam!

Bila malam menjelma, masyarakat mereka ini lebih menggemari sebarang makanan yang di bakar. Sama ada Shawarma, Sish Tawook, atau apa-apa makan grill yang lain.

Dan seperti dalam gambar, apa yang saya nikmati adalah ikan bakar dan udang bakar! perghh memang lain macam resepi bakar mereka. Makanan mereka yang digrill juga di merinade menggunakan rempah ratus mereka yang tersendiri. Jadi bila kita makan tu, memang terasa smoke dia yang bercampuran rempah tu. Dan untuk sajian ni memang dia letak pulak dengan cili, so memang kene dengan cita rasa lidah melayu ni. Ibarat makan sos peri-peri tapi versi bakar. Uhhhh memang padu!

Overall penerimaan rasa: 4/5 (sebab takde nasi, dia bagi makan dengan roti liat)

Pencuci Mulut!

Cakap pasal pencuci mulut ni, adab makan orang Arab ni berbeza dengan kita. Kebanyakkan bangsa dan teramsuklah kita Melayu ni, makan berat dulu dan lepas makan barulah kita ada pencuci mulut seperti buah-buahan atau manisan. Terbalik pulak dengan orang Arab yang mana mereka akan makan buah-buahan dulu dan juga kurma atau tamar baru lah makan makanan yang berat.

Selepan makan berat, mereka akan sekali lagi makan buah. Kalau ikut Sunnah pun, memang didahulukan dengan manisan baru lah makanan berat. Tapi kita dan terikut mat salleh sangatss.. Dan selain buah-buahan, sebelum dan selepas makanan utama, mereka akan disajikan dengan manisan tradisional mereka yang dinamakan HALWA..

Kalau tengok tekstur dan rupa dia macam dodol kita.. tapi cuba try test makan! hehehe..

First time try, agak rasa nak terkeluar balik. Sungguh pun tiada durian, tetapi rasa ni di penuhi dengan rempah ratus dan macam-macam jenis kacang. Bayangkan bunga lawang pun ada. Mereka ni boleh dikatakan semua jenis makanan akan gunakan rempah ratus.

Tapi lama kelamaan tu, bila dah agak biasa dengan rasa dia barulah sikit-sikit cita rasa lidah ni mula dapat terima. Lama-lama sedap pulak makan Halwa ni. Tapi yang paling penting, kalau nak makan ni mesti kene ada kopi yang sepahit-pahit dunia yang amat tidak terhingga…haa kau! Sebabnya Halwa ni dan manis yang amat. Jadi untuk meneutralkan rasa tu, makan kedua-dua adalah padanan yang sesuai.

Overall, penerimaa rasa dia; 3/5

Jadi kepada anda yang nak betul-betul nak menikmati makanan Arab tradisional ni, Oman adalah tempat yang anda harus masukkan dalam bucket list anda. Suasananya yang harmoni akan lagi membuatkan anda rasa sangat seronok berada di sana.

Terdapat juga banyak aktiviti outdoor yang anda boleh lakukan. Yang tu InsyaAllah saya akan sharekan dalam post-post yang akan datang. Tak terhabis kalau nak sumbatkan semua dalam satu post ni.

Kalau anda seterusnya ada sebarang feedback, comment, atau soalan yang anda ingin bertanya, jangan malu jangan segan untuk tinggalkan di ruangan comment bawah.

 

Yang benar,

Ridhwan

 

Salam Perkenalan :)

Selamat Datang ke AwaiTravelog.com 🙂

Kalau saya tanya antara jalan-jalan dan makan, mana lagi kerap orang buat? mestilah MAKAN!

hehe.. AwaiTravelog.com akan membawa anda jalan-jalan ke destinansi menarik sambil kita jelajah tempat-tempat makan yang best, especially mencari makanan HALAL dan sedap!

Selain itu, yang mana kaki adventure, nantikan updates di sini yang mana kami akan berkongsi dengan anda tempat-tempat yang anda juga boleh beraktiviti.

Taknak terlepas update??? Dapatkan secara PERCUMA di sini!

Jangan malu, jangan segan, kalau anda ada sebarang cadangan, pertanyaan, atau sebarang feedback yang anda nak berikan, sila tinggalkan di ruangan “comment” bawah. InsyaAllah saya akan jawab semuanya 🙂

Yang suka jalan,

AWAI

*Gambar di – Misfah Al-Abriyin, Oman